Wednesday, August 21, 2013

MARI KITA RENUNGKAN....

Kisah Benar


Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati aku dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.
Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, aku menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada aku.
Dari jauh aku memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.
“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.
“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.
“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.
Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah aku yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Aku memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila aku amati, lelaki itulah yang membawa aku bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Aku bertanya.
Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan aku lebih hairan.
“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalku.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar aku yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.
"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.
Aku terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, aku hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Aku paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya naik beca tadi,” kata aku memujuk pak cik itu untuk menerima pemberianku.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.
Kenyataannya buat aku rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan aku dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu.
Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan aku daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.
Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment